Tiga beradik daki bukit ikuti PdPR

PAPAR – “Walaupun perlu mendaki bukit setiap kali mahu belajar secara atas talian tapi saya berasa seronok dan teruja.

“Adik-adik pun seronok belajar di atas bukit,” katanya Joshua Emmanuel Jeffery, 12.

Joshua bersama dua adiknya Jordon Emmanuel Jeffery, 9 dan Joshean Emmanuel Jeffery, 8 akan mendaki bukit yang terletak dibelakang rumah nenek mereka sekitar pukul 8.30 pagi dan perlu mendaki bukit sejauh kira-kira 500 meter setiap kali memerlukan mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (C) Anglo Chinese itu berkata, ibu dan ayah akan menemani mereka tiga beradik setiap kali perlu belajar secara dalam talian di kawasan berkenaan.

Menurut Joshua, dia dan adik-adiknya akan berada di atas bukit selama hampir tiga jam untuk mengikuti kelas online bersama guru atau membuat latihan.

Anak sulung daripada tiga beradik berkenaan menyatakan usaha bapanya yang mewujudkan tempat belajar di atas bukit itu sedikit sebanyak mengubati rasa rindu belajar di dalam kelas dengan guru serta rakan-rakan.

Sementara itu, bapa mereka, Jeffery Joseph, 41, berkata dia mula terfikir mewujudkan lokasi pembelajaran anak-anaknya itu Jumaat minggu lalu sebelum pembukaan semua sesi persekolahan 2021.

Jeffery berkata, mereka sekeluarga sebenarnya menetap di Kota Kinabalu namun kerap berulang-alik ke kampungnya itu sejak Disember tahun lalu kerana anak-anak lebih selesa berada di sini.

“Kampung ini memang mempunyai masalah telekomunikasi sejak saya masih kanak-kanak lagi.

“Hanya sesetengah tempat tertentu di dalam kampung ini sahaja yang mempunyai rangkaian sekiranya mahu membuat panggilan telefon atau melayari internet.

“Apabila anak perlu menghadiri pembelajaran secara PdPR, saya terus terfikir penyelesaian agar tidak perlu berjalan jauh setiap kali mereka mahu belajar.

“Saya meninjau disekitar atas bukit yang terdapat kebun getah di belakang rumah dan mendapati rangkaian telefon mahupun internet boleh diperolehi di lokasi ini,” katanya yang juga anak jati Kampung Gana terbabit.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Penampang berkenaan memaklumkan dia membersihkan sekitar kawasan terbabit selain membina meja serta kerusi dari buluh untuk kegunaan anak-anaknya sewaktu belajar secara PdPR di tempat itu.-K!ONLINE

The post Tiga beradik daki bukit ikuti PdPR appeared first on Kosmo Digital.