Sifat rasis Muhammad Sanusi perlu ditegur-Ramanan

PETALING JAYA: Pimpinan Perikatan Nasional (PN) atau parti Pas digesa mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan agar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak terlalu menunjukkan kepimpinan yang berat sebelah terutama dalam isu yang melibatkan kaum dan agama lain.

Ini kerana tindakan Muhammad Sanusi membatalkan cuti sambutan perayaan Thaipusam menunjukkan beliau seorang yang mempunyai sikap perkauman.

Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, Muhammad Sanusi sudah beberapa kali menunjukkan sikap diskriminasinya terhadap kaum-kaum lain.

“Keputusan Muhammad Sanusi untuk membatalkan cuti sambutan perayaan Thaipusam lebih cenderung kepada memuaskan agenda sendiri daripada membendung wabak Covid.

“Berkali-kali sudah beliau membuktikan sifat rasisnya seperti dalam isu perobohan Kuil Sri Raja Muniswaran. Mengapa tidak ada tindakan susulan dari pucuk kepimpinan Pas ataupun kerajaan PN untuk menasihatinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Muhammad Sanusi pernah dikecam apabila merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar yang dibina di atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah.

Namun begitu, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa kuil tersebut dirobohkan berlandaskan undang-undang bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Ramanan menggambarkan sikap Muhammad Sanusi tidak berperikemanusiaan apabila beliau tidak menghormati kepelbagaian agama dan bangsa dalam negara.

“Tindakan Sanusi sebaliknya menunjukkan sifat keangkuhan dan tidak menghormati agama dan tradisi masyarakat beragama lain.

“Negara kita adalah negara berbilang kaum dan seorang pemimpin harus mengelak sebarang ancaman kepada keharmonian negara,”katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Sifat rasis Muhammad Sanusi perlu ditegur-Ramanan appeared first on Utusan Digital.