Polis tegur pasar raya agar tambah baik SOP

BENTONG – Pihak polis melakukan beberapa teguran terhadap pengurusan sebuah pasar raya bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam semalam.

Dalam tinjauan yang dilakukan polis di sebuah pasar raya malam semalam, antara teguran yang dibuat adalah mengenai pemasangan tanda penjarakan fizikal untuk pelanggan beratur sama ada membayar atau membungkus makanan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di premis-premis termasuk pasar raya bagi memastikan SOP ditetapkan dilaksanakan dengan baik.

“Setakat ini kita tengok pihak pasar raya mematuhi SOP, begitu juga dengan pengunjung di sini, cuma ada satu dua teguran kita buat supaya mereka melakukan penambahbaikan,”katanya di sini malam semalam.

Dalam pada itu, katanya, dua lagi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di daerah ini iaitu iaitu di Jalan Tras dan Jalan Besar Karak bermula tengah malam tadi menjadikan lima SJR dibuka di daerah ini setakat ini.-K!ONLINE

The post Polis tegur pasar raya agar tambah baik SOP appeared first on Kosmo Digital.