Perlis naik taraf Terminal Padang Besar

KUALA LUMPUR: Terminal Padang Besar di Perlis telah dinaik taraf bagi mengurangkan ke­sesakan dalam pergerakan kargo membabitkan perdagangan di sempadan Malaysia-Thailand.

Usaha itu membabitkan peningkatan jumlah kapasiti pengendalian kontena oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Terminal Keretapi Padang Besar daripada 110,000 TEU (unit kontena bersamaan 20 kaki) kepada 150,000 TEU setahun.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kejayaan projek naik taraf itu telah meningkatkan keberkesanan pengurusan kontena di sempadan.

“Ini akan menarik lebih ba­nyak pelaburan sektor swasta dan menggalakkan aktiviti ekonomi serta akan merancakkan pelaburan di Pelabuhan Darat Perlis (PIP),” katanya dalam kenya­taan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kangar, semalam.

Menurut Azlan, PIP direka untuk melonjakkan lagi perdagangan antara Malaysia-Thailand, pada masa sama memenuhi keperluan pemain industri di Kawasan Pembangunan Industri Lembah Chuping (CVIA) dengan menyediakan perhubungan rel secara terus ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Sebagai projek pemangkin utama Perlis, CVIA katanya, akan menggalakkan pemba­ngunan dalam sektor halal dan pembuatan hijau di negeri itu.

Ketika ini tambah beliau, komitmen pelaburan telah me­lebihi RM460 juta dan lebih 600 peluang pekerjaan bakal diwujudkan.

Pembangunan CVIA ketika ini jelas Azlan, berjalan lancar mengatasi jadual dengan kawasan seluas 60 ekar akan siap dibangunkan dengan infrastruktur pada hujung bulan ini dan bersedia menerima kehadiran pelabur.

“Kesan pembangunan CVIA ini menawarkan peluang yang cukup besar kepada pembangunan sosioekonomi negeri de­ngan potensi jumlah pelaburan swasta sebanyak RM4.5 bilion dan mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan apabila projek ini beroperasi sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

The post Perlis naik taraf Terminal Padang Besar appeared first on Utusan Digital.