Laksana semula VOP

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan melaksanakan semula kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) yang dimansuhkan pada 2015.

Naib Presiden PKMM yang juga Pengerusi G1 Malaysia, Abd. Gapar Lambak berkata, VOP adalah indeks bagi mengukur kadar purata harga 14 bahan binaan terpilih untuk enam kategori kawasan di Semenanjung.

“Ia meliputi besi, batu bata, kaca, batu baur, bahan siling, bahan bumbung, kayu, papan lapis, kelengkapan kebersihan, jubin, paip, pasir, cat dan cerucuk.

“VOP dapat dibuat setiap interim sama ada pertambahan atau pengurangan bergantung indeks harga semasa. Sudah pasti VOP menguntung dan menyelamatkan kedua-dua pihak (kerajaan dan kontraktor) dari menanggung kerugian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan keluhan kontraktor ekoran berbulan-bulan terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kini perlu pula berdepan PKP kali kedua dan harga barang binaan seperti besi yang naik sehingga 30 peratus.

Dilema kontraktor binaan tersebut dirasai sejak November tahun lalu selepas harga barangan asas pembinaan khususnya besi yang semakin mahal dan
berterusan sehingga hari ini.

Abd. Gapar berkata, pada 2007 dan 2008, kaedah VOP terbukti berjaya menyelamatkan ramai kontraktor dari mengalami kerugian yang besar akibat dari kenaikan harga besi yang melampau.

Beliau dalam pada itu berkata, bagi menangani isu kenaikan harga bahan binaan, PKMM menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyemak semula jadual kadar harga yang diberikan kepada kontraktor.

Ini kerana katanya, sehingga kini kadar harga yang digunakan mengikut Jadual Kadar Harga (JKH) 2016.

“Kami berharap JKR kaji semula buku panduan ini (JKH), buat pembaharuan dan keluarkan buku panduan kadar baharu dan semasa kerana kadar ketika ini telah lebih empat  tahun diguna pakai.

“Ini antara perlu dilakukan untuk membantu keseimbangan pembangunan dan keuntungan serta mengelakkan kontraktor menanggung kerugian besar bila kadar harga 2016 masih diguna pakai tanpa perubahan walaupun kenaikan harga bahan binaan melambung tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Laksana semula VOP appeared first on Utusan Digital.