Keldai, ejen akaun sindiket pelaburan dicekup

KLANG – Seorang keldai akaun bersama ejen membekalkan maklumat dan kad ATM bank kepada rangkaian sindiket pelaburan tidak wujud diberkas dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Dalam serbuan hampir sejam bermula pukul 2.30 pagi itu, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia 25 dan 35 tahun itu di Sungai Buloh dan Pandan Indah, Ampang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan itu susulan laporan daripada seorang mangsa yang merupakan tukang masak di sebuah hotel bertaraf lima bintang pada 2 September tahun lalu yang kerugian RM235,071.

“Mangsa telah dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai rakan lama dengan menawarkan pelaburan bernama ‘genting16.com’.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudian memasukkan sejumlah RM235,071 melalui 29 transaksi ke dalam empat akaun sebelum menyedari ditipu apabila tidak memperolehi sebarang keuntungan dalam tempoh dijanjikan serta modalnya tidak dikembalikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bertindak atas maklumat pihaknya kemudiannya melakukan serbuan di sekitar Jalan Sri Aman Puri Height, Sungai Buloh dengan menahan seorang wanita yang merupakan keldai akaun.

Tambah Shamsul Amar, soal-siasat kemudiannya menahan seorang lelaki yang berperanan sebagai agen membekalkan maklumat dan kad ATM bank kepada rangkaian sindiket di sebuah apartmen di Pandan Indah, Kuala Lumpur. -K!ONLINE

The post Keldai, ejen akaun sindiket pelaburan dicekup appeared first on Kosmo Digital.