Insentif RM561,100 bantu 575 penyewa, peminjam

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Seramai 575 penyewa atau peminjam dijangka menerima manfaat daripada implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM561,100 yang diperuntukkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menerusi empat insentif sokongan terbaharu yang diperkenalkan mereka ketika ini.

Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban rakyat iaitu demi kelestarian serta kelangsungan perniagaan dan kehidupan mereka.

Katanya, bagi insentif pertama, penangguhan serta penjadualan semula bayaran balik skim pinjaman Perda atau moratorium akan diberikan selama tiga bulan iaitu sehingga Mac ini kepada seramai 98 orang peminjam dengan nilai pinjaman berjumlah RM130,000.

“Pada masa yang sama, Perda turut memperkenalkan pengecualian bersasar terhadap bayaran sewaan premis perniagaan peminjam atau penyewa secara bersyarat.

“Menerusi syarat ini, penyewa premis perlu membuktikan bahawa perniagaan mereka terjejas dengan pengurangan pendapatan dan insentif ini dijangka melibatkan 368 penyewa premis dengan implikasi kewangan sebanyak RM341,000,” katanya di sini hari ini.

Jelas Khaliq Mehtab, Perda juga memperkenalkan pengecualian bersasar bayaran sewaan tanah miliknya yang dijangka memberi manfaat kepada 54 penyewa tanah dengan nilai RM73,000.

Tambah beliau, insentif terakhir ialah pengecualian sewaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Alang di Seberang Perai Utara (SPU) yang dijangka melibatkan seramai 55 orang penyewa dengan nilai peruntukan sebanyak RM17,100.- K! ONLINE

The post Insentif RM561,100 bantu 575 penyewa, peminjam appeared first on Kosmo Digital.