Enam individu dicari bantu siasatan kes kerugian RM1.8j

SEREMBAN: Polis kini mencari enam individu bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian hampir RM2 juta yang dilaporkan pada 23 Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, enam individu yang dicari itu ialah Siti Faizatul Husna Azman, 28, beralamat di Flat Sri Tioman 2, Kuala Lumpur; Bong Hann Hwa, 33, beralamat di Jalan Tiram Beladau, Ulu Tiram, Johor; dan Mohd Haniff Budiman Shabri, 32, beralamat di Jalan Hang Lekiu Dawani, Senai, Johor.

Menurutnya, tiga individu lagi ialah Oh Chiew Mei, 43, beralamat di Taman Bukit Mewah, Kajang, Selangor; Mohd Arif Palili, 41, beralamat di Jalan Labuk, Sandakan, Sabah dan Mohd Hafiz Izuan Suhaimi, 27, beralamat di Larkin Perdana, Johor Bahru.

“Kesemua individu ini diperlukan bagi membantu siasatan kes membabitkan seorang wanita warga emas berusia 66 tahun yang telah ditipu oleh sindiket Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM 1.8 juta di Lukut, Port Dickson. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung enam individu berkenaan boleh menghubungi pihak polis.

Menurutnya, individu-individu yang disenaraikan juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor M. Muraly di talian 016-7839535 atau 06-6472222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, tambahnya, dalam kes berkenaan mangsa telah menerima panggilan dari seorang lelaki pada 28 Oktober melalui nombor telefon 017-2605149 yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Albert Lai mendakwa daripada IPK Kuantan, Pahang yang memberitahu mangsa terlibat dengan kes penipuan dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, pada 31 Oktober, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya Inspektor Yong dari Bukit Aman yang meminta butiran maklumat akaun simpanan yang dimiliki mangsa.

Dalam tempoh berurusan bermula daripada 6 November sehingga 26 November itu, sebanyak 103 transaksi  melibatkan lapan akaun bank yang berbeza serta 45 kali pengeluaran wang secara tunai menggunakan kad pengeluaran wang automatik ATM milik mangsa dilakukan. -UTUSAN ONLINE

The post Enam individu dicari bantu siasatan kes kerugian RM1.8j appeared first on Utusan Digital.