Desak presiden letak jawatan langgar prinsip parti

KLANG : Tindakan segelintir kepimpinan UMNO mendesak presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan jelas melanggar prinsip parti. 

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Ir. Kamaruzzaman Johari berkata, UMNO mempunyai undang-undang dan tradisi yang perlu dipatuhi oleh ahlinya di pelbagai peringkat akar umbi. 

Menurutnya, jika kepimpinan tidak bersetuju dengan presiden, mereka boleh membuat desakan ketika pemilihan parti akan datang bukannya sekarang. 

“Parti kita ada tradisi, sebarang ketidakpuasan hati boleh diterjemahkan mengikut platform yang betul iaitu ketika pemilihan. Kenapa hendak desak sekarang sedangkan beliau (Ahmad Zahid) sudah pun diberi mandat untuk menggalas jawatan presiden.

“Biarlah beliau jalankan tugas sebagai presiden sehingga tamat penggalnya. Kalau nak tukar orang lain, tunggu pemilihan. Kita (ahli parti) sudah beri undi dan pilih beliau sebagai presiden, sudah tentu kita kena hormat suara majoriti,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan desakan daripada kepimpinan pemuda bahagian dan negeri, termasuk Ketua Umno Bahagian agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO. 

Terbaru, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman melabelkan kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen parti Melayu itu kini hilang hala tuju.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata, sekiranya ahli parti membuat desakan untuk mengadakan pemilihan parti, itu adalah lebih bersesuaian. 

“Pada saya lebih sesuai ahli parti mendesak kepimpinan untuk membuat pemilihan parti lebih cepat. Bila pemilihan parti, ahli boleh membuat pilihan masing-masing. 

“Saya harap ahli parti bersikap lebih bijak dalam membuat pemilihan nanti. Nasihat saya, selagi beliau bergelar presiden, kita sebagai ahli parti kena akur,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

The post Desak presiden letak jawatan langgar prinsip parti appeared first on Utusan Digital.