Debu pasca banjir Kampung Teladas dibersihkan

KEMAMAN – Banjir lumpur yang melanda Kampung Teladas, Air Putih dekat sini menerusi beberapa episod gelombang banjir sebelum ini telah menyebabkan sebahagian besar perkampungan itu diselaputi debu tebal.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Teladas, Yazid Yassin berkata, sebelum ini lumpur yang terhasil akibat banjir yang berakhir 11 Januari lalu telah dibersihkan dengan jentolak sehingga meninggalkan sisa debu di permukaan jalan terutama di kawasan jambatan.

Beliau berkata, debu tersebut sering berterbangan mengotori rumah dan premis perniagaan penduduk sehingga menimbulkan ketidakselesaan selain menjejaskan kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.

“Kenderaan penduduk juga cepat berhabuk apabila melalui jalan yang diselaputi debu berkenaan selain ramai kanak-kanak dilaporkan terkena serangan asma.

“Debu itu terlalu tebal. Alhamdulillah masalah kami didengari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sudi membantu membersihkankannya,” katanya kepada Kosmo! selepas menyaksikan proses pembersihan debu tebal itu oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh di sini hari ini. – K! ONLINE

The post Debu pasca banjir Kampung Teladas dibersihkan appeared first on Kosmo Digital.