Beri alasan beli barang keperluan untuk rentas daerah

KANGAR – Alasan paling banyak diberikan orang ramai yang mahu merentas daerah pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini hari ini adalah mahu membeli barang keperluan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sebanyak 20 kenderaan yang cuba berbuat demikian dengan alasan tidak munasabah itu telah diarah berpatah balik sehingga petang ini.

Katanya, orang ramai sebelum ini telah diingatkan untuk berbelanja tidak melepasi radius 10 kilometer (km) dari kawasan kediaman masing-masing.

“Pemantau di sekatan jalan raya (SJR) mendapati ada lagi kenderaan yang tidak membawa surat kebenaran dan memberi alasan untuk membeli-belah di daerah berbeza.

“Jadi kami arahkan mereka berpatah balik kerana radius yang dibenarkan adalah 10 km sahaja yang mana mereka masih boleh mendapatkan bekalan yang sama,” katanya selepas membuat pemantauan di SJR Kaki Bukit, Jalan Kem Tasoh di sini hari ini.

Terdapat lima SJR sempadan daerah di negeri ini iaitu di Tambun Tulang, Padang Besar, Kaki Bukit dan simpang tiga lampu isyarat Jejawi. – K! ONLINE

The post Beri alasan beli barang keperluan untuk rentas daerah appeared first on Kosmo Digital.