Ahmad Faizal, Adly Shah letak jawatan

Oleh AZIZAN HASHIM

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) hilang dua tokoh serentak apabila Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-dua pegawai tertinggi PAFA tersebut mengumumkan peletakan jawatan mereka pada sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di Meru Raya, Ipoh semalam.

Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja mengambil tindakan drastik itu berikutan ura-ura bahawa kerajaan negeri enggan memberi bantuan dana selagi beliau masih menyandang jawatan sebagai Presiden PAFA.

Ahmad Faizal mengakui, PAFA sedang menghadapi masalah kewangan menyebabkan gaji pemain dan pegawai tertunggak selama lebih sebulan setengah.

“PAFA hanya membayar setengah bulan gaji bagi November kepada pemain dan pegawai pasukan The Bos Gaurus.

“Saya ingat dapat menyelesaikannya pada Disember lalu ke­rana sebelum ini kerajaan negeri bersetuju untuk membantu serta tiada halangan untuk saya terus menerajui PAFA,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menambah, nampaknya ada perkembangan baharu dan beliau mendengar desas-desus Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamed tidak mahu menyalurkan dana kepada PAFA.

“Saya kasihankan pemain dan pegawai yang tidak mendapat gaji. Oleh yang demikian, elok saya letak jawatan,” katanya.

The post Ahmad Faizal, Adly Shah letak jawatan appeared first on Kosmo Digital.