Ahli perniagaan ditahan proses, edar dadah

PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan ditahan selepas didapati terlibat dengan kegiatan memproses dan mengedar dadah dalam serbuan di Pudu, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 35 tahun itu di lokasi tersebut pada pukul 1.45 petang.

“Polis merampas 40 botol mengandungi 400 milimeter cecair dadah, wang tunai RM250 dan sebuah motosikal.

“Pada hari sama, polis telah membuat satu lagi serbuan di rumah suspek di Ampang, Selangor pada pukul 1 pagi dan menemui tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ml), cecair kimia, ganja, botol menyiram pokok ganja serta sebuah kereta BMW milik suspek.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama,” katanya. – K! ONLINE

The post Ahli perniagaan ditahan proses, edar dadah appeared first on Kosmo Digital.