3,175 kg herba dari Indonesia disita

SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 3,175 kilogram (kg) pelbagai jenis daun herba yang cuba dibawa masuk ke negara ini semasa pemeriksaan di Pelabuhan Dermaga Air Dalam, Butterworth di sini semalam.

Rampasan produk yang dibungkus dalam 125 guni itu dibuat semasa operasi kira-kira pukul 2 petang.

Pengarah Maqis negeri berkata, hasil pemeriksaan mendapati produk itu cuba dibawa masuk dari Indonesia dipercayai gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan pada syarat Permit Import.

“Kita menahan 3,175 kg pelbagai jenis herba perubatan yang dianggarkan bernilai RM61,241.25.

“Antaranya termasuklah tarik angin, cabe jawa, bunga jambu, damar mata kucing, anyang-anyang, cuci atep, lada lobang, pulau sari, temu kuncu, masohi dan kembang semangkok,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – K! ONLINE

The post 3,175 kg herba dari Indonesia disita appeared first on Kosmo Digital.