11 individu lepak depan tokong terima padah

LUMUT – Polis mengeluarkan kompaun terhadap 11 individu yang berkumpul dan melepak di depan sebuah tokong di Pasir Panjang, Sitiawan, dekat sini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Difahamkan, 11 individu termasuk empat wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu menaiki motosikal dan berkumpul tanpa tujuan pada waktu senja di kawasan parkir tokong tersebut yang terletak di tepi laut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pasukan task force pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mengeluarkan kompaun itu selepas semua individu terbabit ingkar PKPB.

Katanya, pasukan tersebut melakukan pemantauan di sekitar daerah Manjung bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 individu terbabit mengingkari SOP PKPB iaitu berkumpul melebihi 10 orang yang dibenarkan di pusat riadah dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Mereka dikenakan kompaun mengikut Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Omar menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi SOP serta mengikuti arahan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, tindakan lebih tegas akan dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.-K!ONLINE

The post 11 individu lepak depan tokong terima padah appeared first on Kosmo Digital.