Ujian saringan pelajar hanya kes positif, kontak rapat

PUTRAJAYA – Ujian saringan kepada pelajar yang pulang ke sekolah akan dijalankan sekiranya terdapat kes positif selain mereka yang terdedah kepada kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tertumpu kepada kes positif serta kontak rapat kepada kes tersebut.

“Kita tak jalankan saringan kepada semua warganegara dan mereka yang kembali ke sekolah. (Saringan) tetapi tertumpu kepada kes positif dan kontak rapat kes.

“Itu keutamaan kita dalam menjalankan ujian tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya susulan seramai 36 kes pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dikesan positif Covid-19 semalam di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, KKM akan meningkatkan keupayaan makmal bagi menjalankan ujian Covid-19 mencecah kepada 100,000 dalam masa terdekat.

“Makmal kita sudah ditingkatkan iaitu di Sabah sebanyak enam makmal manakala di Semenanjung sebanyak 68 makmal. Kita akan tingkatkan keupayaan makmal tersebut mencecah 100,000 dalam masa terdekat.

“Justeru, kita akan menambah makmal di hospital seperti di Lahad Datu dan Tawau. Kita akan tempatkan makmal sebagaimana kita laksanakan di Lahad Datu dan Tawau ke hospital lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya turut melihat kepada kerjasama awam dan swasta selain pihak universiti, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam meningkatkan keupayaan tersebut kepada 100,000 ujian sebelum ditingkatkan kepada 150,000 ujian. – K! ONLINE

The post Ujian saringan pelajar hanya kes positif, kontak rapat appeared first on Kosmo Digital.