‘Tiga hari dirawat di ICU’ – Tok Pa

PUTRAJAYA – “Paling mencemaskan ialah ketika tiga hari dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat masalah pernafasan dan kekurangan tenaga,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Itu pendedahan dibuat Ahli Parlimen Jeli itu sepanjang 12 hari menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak 9 Januari lalu.

Mustapa menerusi hantaran di laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan beliau sudah dibenarkan keluar dari HRPZ II kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada pukul 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

“Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang,” katanya.

Katanya, beliau merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang beri kata kata-kata semangat, ucapan dan doa.

Mustapa mengingatkan kepada semua rakyat supaya tidak mengambil mudah ancaman wabak Covid-19.

“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini.

“Sepanjang pandemik Covid-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

“Berdiri teguh di belakang kerajaan, KKM dan pihak penguat kuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan,” katanya. – K! ONLINE

The post ‘Tiga hari dirawat di ICU’ – Tok Pa appeared first on Kosmo Digital.