Sainz sedia cabar Leclerc di Ferrari

MILAN – Pelumba baharu Ferrari, Carlos Sainz berazam tidak akan ‘goyang kaki’ pada sai­ngan Formula Satu (F1) musim ini kerana sedar cabaran yang bakal diberikan oleh rakan sepasukan, Charles Leclerc dalam usaha merebut gelaran pelumba No. 1 pasukan.

Sebagai rekod, Sainz dianggap sebagai salah seorang pelumba meningkat naik apabila mempamerkan aksi memberangsangkan bersama pasukan McLaren musim lepas sehingga khidmatnya disambar oleh pasukan Ferrari.

Sainz bakal menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang berhijrah ke pasukan Aston Martin selepas kontraknya tidak disambung Ferrari.

Kata Sainz, mewakili pasukan berstatus gergasi seperti Ferrari memerlukannya melakukan persiapan rapi daripada segi mental dan fizikal terutama apabila sai­ngan musim baharu akan bermula tidak lama lagi.

“Saya sedar peluang untuk bersama Ferrari hadir sekali seumur hidup dan saya tidak boleh mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan barisan jurutera teknikal, rakan sepasukan (Leclerc) dan terutama sekali jentera.

“Malah, saya lebih suka untuk berterus terang dengan me­ngatakan bahawa Leclerc akan memberikan tentangan yang sengit memandangkan kami berdua adalah pelumba muda yang dianggap sebagai generasi sete­rusnya dalam kancah F1 ini.

“Justeru, kekosongan yang ditinggalkan oleh Vettel selaku pelumba No. 1 pasukan pasti akan menjadi rebutan buat kami berdua dan saya perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal dalam memastikan dapat mencabar keupayaan Leclerc,” kata Sainz. – AGENSI

The post Sainz sedia cabar Leclerc di Ferrari appeared first on Kosmo Digital.