Polis Perak laksanakan 53 SJR sempena PKP

IPOH – Sebanyak 53 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh Perak berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekatan jalan raya tersebut melibatkan kawalan di sempadan negeri dan daerah dengan penugasan 1,822 pegawai dan anggota.

“Sebanyak 386 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga telah digerakkan di seluruh negeri.

“Penugasan SJR dan pasukan pemantau itu dilakukan setiap hari dengan penglibatan 1,822 petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan supaya mematuhi setiap SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada masyarakat amat penting dalam memerangi penularan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

The post Polis Perak laksanakan 53 SJR sempena PKP appeared first on Kosmo Digital.