PLUS tutup lorong kecemasan, lorong kiri KM329.64-KM331.79 arah selatan 5 hari

IPOH: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup lorong kecemasan dan lorong kiri antara Tapah ke Bidor di KM329.64 hingga KM331.79 (arah selatan) Lebuhraya Utara-Selatan kepada semua kenderaan lima hari bermula pukul 9 pagi esok hingga pukul 12.30 tengah hari 26 Januari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PLUS, penutupan lorong itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan dengan lancar.

“PLUS mengutamakan keselamatan dan keselesaan di lebuh raya dan secara berterusan melakukan pelbagai usaha serta inisiatif untuk meningkatkan kedua-dua aspek tersebut.

“Bagaimanapun, lorong kanan di laluan terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, pengguna yang menghala ke selatan dinasihatkan merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan.

Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.

“Pada masa sama, mereka dinasihatkan mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

“PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut.

“Dengan semangat #KitaJagaKita, kerjasama tersebut berupaya menjadikan perjalanan yang lancar untuk semua pelanggan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

The post PLUS tutup lorong kecemasan, lorong kiri KM329.64-KM331.79 arah selatan 5 hari appeared first on Utusan Digital.