Peruntukan RM1.5 juta sediakan PPE

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara menyalurkan peruntukan RM1.55 juta kepada 115 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.

Peruntukan kewangan itu disalurkan bagi menjahit dan menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sehingga 4 Januari lalu, sebanyak 176,043 unit PPE dihasilkan oleh KRT yang terlibat di 13 buah negeri.

Katanya, program itu dijalankan dalam lima fasa agihan dan dijangka menghasilkan sejumlah 400,000 unit keseluruhannya pada akhir Februari depan.

“Negeri yang terbabit adalah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan), Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sarawak dan Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif kementerian melalui jentera perpaduan KRT itu adalah merupakan tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugasan mereka.

Katanya, penyediaan PPE oleh KRT ini adalah inisiatif yang dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa dan kementerian komited meneruskan sumbangan itu dalam usaha bersama memutuskan rantaian Covid-19. – UTUSAN ONLINE

The post Peruntukan RM1.5 juta sediakan PPE appeared first on Utusan Digital.