Pembakaran terbuka tertinggi di P. Pinang

GEORGETOWN: Pulau Pinang merekodkan kes pembakaran terbuka tertinggi tahun lalu biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac ekoran pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pada tahun lalu negeri ini merekodkan sebanyak 670 kes pembakaran terbuka berbanding hanya 478 kes pada 2019.

Katanya, kebanyakan pembakaran terbuka dikesan berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah haram, pembakaran sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan.

“Pembakaran terbuka juga dikesan dilakukan untuk membakar sisa perladangan, sisa kebun, penerokaan dan pembukaan tanah serta pembakaran di kawasan perumahan,” katanya semalam.

Menurut Sharifah Zakiah, berdasarkan aduan dan siasatan yang dijalankan, pihaknya mendapati kes pembakaran sisa-sisa pembersihan sampah sarap di kawasan kediaman adalah kes tertinggi.

“Tahun lalu, pembakaran sampah sarap dikesan menjadi punca utama peningkatan kes pembakaran terbuka yang mana sebanyak 550 aduan diterima oleh JAS mengenai aktiviti tersebut,” katanya.

Tambah beliau, keadaan pembakaran terbuka menjadi lebih serius pada musim panas yang berpanjangan.

“Ini kerana pembakaran terbuka turut menyumbang kepada masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan me­ngurangkan jarak penglihatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, JAS negeri akan meningkatkan rondaan dan penggunaan dron dibuat di kawasan yang sukar diakses.

“Rondaan akan dibuat dari semasa ke semasa termasuk hari cuti umum atau cuti pe­rayaan dan mereka yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun maksima RM2,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Tambahnya, kesalahan itu juga boleh didakwa di mah­kamah di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali. – UTUSAN ONLINE

The post Pembakaran terbuka tertinggi di P. Pinang appeared first on Utusan Digital.