Operasi kedai makan: Tambahan 2 jam beri impak besar rantaian ekonomi

KUALA LUMPUR: Gesaan supaya melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga pukul 10 malam terus disuarakan.

Terbaharu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membuat gesaan itu berkata, kelonggaran waktu operasi sektor ekonomi tersebut memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak.

Beliu berkata, kerajaan wajar mempertimbang cadangan itu kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal pukul 8 malam menyukarkan banyak pihak.

“Saya berpandangan bahawa ada kewajaran untuk kerajaan mengkaji semula syarat itu yang sememangnya agak menyukarkan banyak pihak.

“Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes-kes Covid-19 amat membimbangkan, tetapi yakin dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak, kita dapat mengelakkan restoran dan kedai makan menjadi kluster jangkitan Covid-19 kerana mereka hanya menjual secara tempahan dan dihantar oleh pekerja penghantaran”, katanya hari ini.

Menurut Mahdzir, penutupan restoran dan kedai makan seawal pukul 8 malam menyebabkan orang ramai terutama yang baru pulang bekerja tidak sempat membeli juadah makan malam.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Padang Terap tersebut, pendapatan bagi pekerja penghantaran susut mendadak kerana kekurangan tempahan diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan selepas pukul 8 malam.

“Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran dan kedai makan terjejas, pendapatan pekerja penghantaran terjejas kerana bagi saya waktu antara 8 malam hingga 10 malam itu adalah waktu perdana bagi orang ramai mendapatkan makanan untuk makan malam,” ujarnya.

Katanya lagi, kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Berilah sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga pukul 10 malam. Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Operasi kedai makan: Tambahan 2 jam beri impak besar rantaian ekonomi appeared first on Utusan Digital.