MB Perak terharu lihat kesungguhan barisan hadapan

IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad terharu melihat kesungguhan petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas menjaga pesakit Covid-19 di dua pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC), di sini.

Saarani berkata, semasa meninjau PKRC di Arena Badminton Perak dan Ulu Kinta semalam, beliau melihat sendiri kesungguhan petugas barisan hadapan menjalankan tanggungjawab diberikan.

“Selain mendengar taklimat mengenai operasi harian di PKRC terlibat, saya sempat bertanya khabar para anggota petugas barisan hadapan atau frontliners dan pesakit yang ditempatkan di situ.

“Walaupun dalam suasana serba tidak menentu sekarang, saya terharu dengan kesungguhan para petugas frontliners yang tetap tabah memberi bantuan sewajarnya kepada para pesakit yang amat memerlukan perhatian.

“Dalam keadaan angka kes Covid-19 yang terus meningkat, tugas mereka pastinya akan lebih mencabar dan tentunya menuntut kesabaran dan kecekalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata, justeru beliau merayu masyarakat supaya membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi SOP ditetapkan.

“Jika kes Covid-19 menurun, maka beban tugas yang dipikul petugas barisan hadapan dapat sama-sama diringankan,” katanya.

Saarani berkata, beliau memahami situasi sukar yang mungkin dihadapi oleh pesakit Covid-19 termasuk menyesuaikan diri dengan suasana di PKRC, gelisah menunggu keputusan ujian selain terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Beliau berharap pesakit Covid-19 tabah dan menguatkan menghadapi tempoh sukar ini.

“Sepanjang berada di PKRC, berilah sokongan moral antara satu sama lain, jangan putus ikhtiar, jangan ada rasa putus asa.

“Saya dan rakan-rakan sentiasa mendoakan, mudah-mudahan anda semua dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dalam keadaan sihat,” katanya.

Dalam tinjauan berkenaan, Saarani diberi taklimat mengenai operasi di kedua-dua PKRC itu oleh Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said.

Beliau turut menyampaikan bantuan barangan keperluan termasuk makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan di kedua-dua PKRC tersebut. – UTUSAN ONLINE

The post MB Perak terharu lihat kesungguhan barisan hadapan appeared first on Utusan Digital.