Masih ramai tidak pakai pelitup muka

SHAH ALAM:  Penduduk di Selangor paling banyak dikenakan tindakan kompaun gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya pematuhan pemakaian pelitup muka.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, Selangor merupakan negeri yang mencatat kompaun harian dan terkumpul tertinggi.

“Contohnya, semalam (kelmarin) sahaja sebanyak 153 kompaun telah dikeluarkan yang mana 49 daripadanya adalah kesalahan tidak memakai pelitup muka.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya pematuhan SOP masyarakat berada pada tahap 90 peratus,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, orang ramai dilihat masih ‘berdegil’ untuk mencuba melakukan rentas negeri dan daerah biarpun perkara itu tidak dibenarkan sepanjang PKP fasa kedua.

Menurutnya, ada segelintir daripada mereka mencuba nasib untuk keluar negeri dan daerah walaupun kerajaan mengeluarkan arahan itu di negeri yang melaksanakan PKP.

“Bagaimanapun, rata-rata daripada mereka yang dibenarkan rentas negeri dan daerah mempunyai surat dan kebenaran kerana kebanyakan daripada sektor perniagaan dibenarkan beroperasi.

“Kita telah mengambil tindakan mengenakan kompaun kepada mereka yang degil dan juga memberikan nasihat sebagai salah satu kaedah mendidik selain memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang pelaksanaan PKP, lebih 1,000 anggota dan pegawai telah diarahkan bertugas untuk pasukan pematuhan dan tidak termasuk sekatan jalan raya.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan dapat memutuskan rantaian Covid-19,” katanya. – UTUSAN

The post Masih ramai tidak pakai pelitup muka appeared first on Utusan Digital.