Maritim Perak rampas 100 bubu naga

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 100 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 3.7 hingga 7.1 batu nautika barat laut Pulau Talang Segari, dekat sini kelmarin.

Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, semasa rondaan Op Benteng berhampiran Pulau Talang kira-kira pukul 12.30 malam, bot Benteng 6 dan Petir 80 telah mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di penemuan lokasi pertama mendapati, pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Seterusnya, kedua-dua tersebut memeriksa setiap pelampung di lokasi-lokasi lain dan mendapati semuanya terdapat bubu-bubu naga dipasang di bawahnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan di Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata, penggunaan alat peranti mengumpul ikan atau bubu naga tersebut dilihat berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. 

“Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM12,000 dengan anggaran RM120 seunit.

Shahrizan meminta komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan penemuan tersebut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. 

Beliau juga menasihatkan mereka agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut serta menghubungi talian 999 jika mengalami kecemasan atau ingin melaporkan kejadian jenayah di laut. – UTUSAN

The post Maritim Perak rampas 100 bubu naga appeared first on Utusan Digital.