Maqis rampas biji bijan RM38,281 dari Mexico langgar syarat permit

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk biji bijan bernilai RM38,281 melalui Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, biji bijan dari Mexico itu ditemukan setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan lori import BSI. 

“Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguatkuasa Maqis mendapati konsainan yang membawa produk seberat 2.7 tan itu tidak memenuhi dos rawatan yang telah ditetapkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam syarat Permit Import Maqis,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nur Afifah berkata, pemandu lori berusia 36 tahun itu dilepaskan setelah diambil keterangan kira-kira pukul 5.30 petang.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

The post Maqis rampas biji bijan RM38,281 dari Mexico langgar syarat permit appeared first on Utusan Digital.