Lorong kecemasan, lorong kiri Tapah ke Bidor ditutup

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini memaklumkan lorong kecemasan dan lorong kiri di antara Tapah ke Bidor di KM329.64 hingga KM331.79 (arah selatan) di Lebuhraya Utara Selatan, akan ditutup kepada semua kenderaan selama lima hari mulai 9 pagi esok.

PLUS dalam satu kenyataan berkata, penutupan sehingga 26 Januari pukul 12.30 tengah hari itu bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan dengan lancar.

“Bagaimanapun, lorong kanan di laluan terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Justeru, pelanggan yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan televisyen litar tertutup (CCTV) yang disediakan,” katanya hari ini.

Selain itu PLUS berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

“PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut. Dengan semangat #KitaJagaKita, kerjasama tersebut berupaya menjadikan perjalanan yang lancar untuk semua pelanggan,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Lorong kecemasan, lorong kiri Tapah ke Bidor ditutup appeared first on Kosmo Digital.