Lampard pasrah nasib sendiri

LEICESTER – Masa depan pe­ngurus Chelsea, Frank Lampard semakin tidak menentu selepas pasukan itu tewas 0-2 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power awal pagi semalam.

Dua jaringan menerusi Wilfred Ndidi dan James Maddison sudah cukup untuk memastikan The Blues terus sengsara apabila hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, Lampard menegaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan masa depannya di kelab itu, sebaliknya legenda Chelsea berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pemilik, Roman Abra­movich.

“Saya tidak ada kuasa untuk membuat keputusan. Soalan ini sentiasa ditanya dalam beberapa minggu terdahulu dan saya faham apa yang dimahukan oleh kelab.

“Ketika terima tugas sebagai pengurus, saya tahu kami akan berdepan detik sukar kerana kelab ini belum bersedia memandangkan dibarisi ramai pemain muda serta muka baharu,” kata Lampard.

Sementara itu, bekas pemain antarabangsa England tersebut terus menyalahkan barisan pemainnya apabila menganggap skuad kendaliannya gagal menampilkan aksi dimahukan.

“Ada beberapa pemain yang tidak bermain seperti diarahkan. Saya pernah menjadi pemain dan tidak ada orang lain yang boleh membantu anda melainkan diri sendiri,” ujarnya. – AGENSI

The post Lampard pasrah nasib sendiri appeared first on Kosmo Digital.