Kementerian Perpaduan salur peruntukan RM1.5 juta sediakan PPE

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1,555,000 kepada 115 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Malaysia semenjak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mei tahun lalu.

Peruntukan kewangan ini disalurkan bagi menjahit dan menyediakan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sehingga 4 Januari lalu, sebanyak 176,043 unit PPE telah dihasilkan oleh KRT yang terlibat di 13 buah negeri.

Katanya, program itu dijalankan dalam lima fasa agihan dan dijangka akan menghasilkan sejumlah 400,000 unit keseluruhannya pada akhir Februari depan.

“Peralatan PPE yang dihasilkan adalah isolation gown, round cap, shoes cover, boot cover dan face shield.

“Negeri yang terbabit adalah Kuala Lumpur, Labuan, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sarawak dan Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif kementerian melalui jentera perpaduan KRT itu adalah merupakan tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugasan mereka.

Katanya lagi, penyediaan peralatan PPE oleh KRT ini adalah inisiatif yang dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa dan Kementerian komited meneruskan sumbangan ini di dalam usaha bersama untuk memutuskan rangkaian Covid-19 di Malaysia.-K!ONLINE

The post Kementerian Perpaduan salur peruntukan RM1.5 juta sediakan PPE appeared first on Kosmo Digital.