Inisiatif ekonomi dan kesihatan letakkan Malaysia di landasan pemulihan 

PUTRAJAYA – Gabungan pelbagai keputusan ekonomi dan kesihatan diumumkan kerajaan baru-baru ini dilihat formula tepat bagi meletakkan Malaysia di landasan pemulihan baik dari segi kesihatan awam, mahupun ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara keputusan dibuat kerajaan termasuk langkah inisiatif Belanjawan 2021 dan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

“Terbaharu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 1.75 peratus.

“Selain itu, BNM juga mengumumkan pelanjutan fleksibiliti bagi institusi perbankan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi memenuhi pematuhan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sehingga 31 Disember 2022,” katanya menerusi Laporan Laksana Ke-37, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, secara ringkasnya, kesemua langkah itu akan memastikan mudah tunai adalah mencukupi bagi menyokong aktiviti kewangan dan ekonomi.

Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan itu juga seiring dengan pelbagai kemudahan kerajaan menerusi pakej-pakej PENJANA dan KITA PRIHATIN serta Belanjawan 202.

“Apa yang penting, kesemua langkah-langkah ini perlu lihat secara keseluruhan, bukannya secara persendirian.

“Setakat ini, hampir RM13 bilion sudah disalurkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 dan baki PSU 2.0 sebanyak RM2 bilion akan disalurkan tahun ini.

“Pada masa sama, PSU bersasar bernilai RM1.5 bilion turut diumumkan bagi merancakkan sektor pelancongan dan peruncitan melalui Belanjawan 2021,” katanya.

Katanya, kerajaan juga menambah RM1bilion bagi PSU 3.0 di bawah Permai, yang merangkumi semua sektor terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).-K!ONLINE

The post Inisiatif ekonomi dan kesihatan letakkan Malaysia di landasan pemulihan  appeared first on Kosmo Digital.