Geng samun kedai serbaneka diberkas

GOMBAK – Empat lelaki disyaki terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai serbaneka di Jalan Dataran Selayang, Batu Caves di sini pada Ahad lalu berjaya diberkas pihak polis.

Keempat-empat lelaki berusia lingkungan 23 hingga 26 tahun ditahan di beberapa kawasan di sekitar daerah ini selepas lebih sembilan jam memecah masuk kedai serbaneka itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian Ahad lalu itu, pihaknya telah menerima maklumat awam berkenaan kejadian pecah masuk premis terbabit kira-kira pukul 4.30 pagi.

Katanya , berdasarkan laporan pengurus kedai serbaneka berkenaan, terdapat beberapa peralatan di premis itu hilang antaranya televisyen litar tertutup (CCTV) berserta dekodernya, sebuah telefon bimbit dan pelbagai jenis rokok.

Tambahnya, jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah RM10,000.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Selayang telah menahan seorang lelaki warga asing di Jalan Besar Selayang Indah kira-kira pukul 1.30 petang kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

“Soal siasat ke atas suspek pertama kemudiannya membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar Taman Desa Padu, Batu Caves dan Taman Segambut Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Arifai berkata, selain menahan keempat-empat lelaki yang terdiri daripada tiga warga asing dan seorang warga tempatan itu, pihaknya turut menemui semula sejumlah barangan yang dilaporkan hilang dari kedai serbaneka itu.

“Antara yang dirampas 66 karton rokok pelbagai jenama, 264 kotak rokok pelbagai jenama serta wang tunai RM1,800 dipercayai hasil daripada jualan rokok curi dari kedai serbaneka tersebut.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -K! ONLINE

The post Geng samun kedai serbaneka diberkas appeared first on Kosmo Digital.