Empat beradik ditahan larikan jenazah bapa

LAHAD DATU – Polis menahan empat beradik ekoran bertindak melarikan jenazah bapa mereka dalam kejadian di Hospital Lahad Datu malam semalam.

Semua empat beradik berusia antara 26 hingga 31 tahun terbabit dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan wabak Covid-19 ke atas jenazah bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki berusia 58 tahun berkenaan dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori Patient-Under-Investigation (PUI) sebelum meninggal dunia.

Menurutnya, lelaki terbabit mempunyai sejarah sakit otak dan pernah diserang angin ahmar mengikut rekod kesihatannya.

“Pasukan perubatan sempat memberikan pertolongan cemas pernafasan (CPR) selama 30 minit sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital.

“Petugas perubatan juga kemudiannya memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan selain jenazah berkenaan juga perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehingga keputusan ujian diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Rohan menyatakan waris enggan meninggalkan jenazah di hospital dan terus bertindak menolak jenazah keluar daripada khemah zon PUI sebelum dibawa balik ke rumah mereka.

Mengulas lanjut, Rohan berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas kediaman keluarga terbabit di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Panji.

“Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki. Jenazah berkenaan turut ditemui dibahagian ruang tamu di rumah perkampungan atas air itu,” katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dalam pada itu, Rohan memaklumkan semua suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut. – K! ONLINE

The post Empat beradik ditahan larikan jenazah bapa appeared first on Kosmo Digital.