Dua lelaki disyaki pengedar dadah diberkas

KEMAMAN – Dua lelaki yang disyaki pengedar dadah berjaya ditahan di kawasan di Felda Neram 1 dekat sini pada kelmarin.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 37 dan 36 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di lokasi serbuan antara pukul 1.40 tengah hari dan 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan berkenaan berjaya merampas pil disyaki pil kuda, serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang bernilai keseluruhan kira-kira RM2,730.

Beliau berkata, wang tunai dan dua buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM20,000 juga berjaya dirampas.

“Suspek pertama berusia 37 tahun telah ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah ladang kelapa sawit pada pukul 1.40 petang.

“Pemeriksaan pada suspek yang berasal dari Felda Bukit Kuantan, Pahang telah menemui dua paket mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan wang tunai berjumlah RM520 di dalam sebuah beg,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, suspek kedua berusia 36 tahun pula berjaya ditahan tidak jauh daripada lokasi serbuan pertama pada pukul 3 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan pada lelaki berasal dari Felda Neram 1 tersebut pula menemui dua paket mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan 138 pil dipercayai pil kuda.

“Ujian urin terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka masing-masing positif dadah jenis Morfin dan Metaphitamine selain memiliki sembilan dan tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama,” katanya. – K! ONLINE

The post Dua lelaki disyaki pengedar dadah diberkas appeared first on Kosmo Digital.