Disaman bukan tak pakai sarung tangan tapi kesalahan lain

PUTRAJAYA – Individu itu bukan disaman kerana tidak memakai sarung tangan sebaliknya tindakan diambil kerana tidak mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang lain.

Itu penjelasan diberikan Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berhubung dakwaan kononnya seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Presint 8, di sini disaman kerana tidak memakai sarung tangan ketika bertugas.

Mohd. Fadzil ketika dihubungi berkata, berlaku kekeliruan mengenai video yang tular di media sosial itu.

Beliau berkata, anggotanya mengeluarkan saman kerana pekerja itu tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan manual serta tidak mengambil suhu badan sebelum mula bertugas.

“Kesalahan utamanya sebagai pekerja, dia sendiri tidak daftar MySejahtera dan manual serta tidak ambil suhu badan. Saya tak saman pun pasal tidak pakai sarung tangan.

“Saya hanya menasihati juruwang wanita itu supaya memakai sarung tangan yang diberikan oleh majikannya kerana dia berurusan dengan ramai pelanggan di kaunter bayaran.

“Bukan tujuan untuk saman sebab tidak pakai sarung tangan tapi klip video itu seolah-olah menunjukkan kami menyaman pekerja itu kerana tidak pakai sarung tangan,” katanya.

Katanya, pekerja wanita itu disaman RM1,000 pada 17 Januari lalu di sebuah pasaraya di Presint 8, di sini kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, tular mengenai video berdurasi 34 saat yang menunjukkan rakaman seolah-olah anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mengambil tindakan saman kepada seorang pekerja wanita kerana tidak memakai sarung tangan.

Dalam klip video itu, Mohd. Fadzil kelihatan menasihati pekerja itu kerana tidak memakai sarung tangan namun, disalah anggap kononnya tindakan saman diambil kerana tidak memakai sarung tangan.

Rakaman video yang dikongsi menerusi Twitter  itu turut menarik perhatian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudian menjelaskan tiada SOP bagi pemakaian sarung tangan.

Ismail Sabri menerusi ciapan ringkas di Twitter berkata: “Tiada SOP pakai glove (sarung tangan).

Rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati dengan klip video itu yang mendakwa polis tidak faham mengenai SOP yang dikuatkuasakan sepanjang PKP.

Selain itu, ada yang simpati dengan pekerja wanita itu dan mahu saman diberikan ditarik balik atau dibatalkan.

The post Disaman bukan tak pakai sarung tangan tapi kesalahan lain appeared first on Kosmo Digital.