Ariff sematkan tekad kembali sertai Harimau Malaya

BINTANG baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Muhammad Ariff Farhan Md. Isa meluahkan hasrat untuk membarisi skuad kebangsaan sekali gus kembali mencipta nama pada saingan Liga Malaysia (Liga M) setelah bergelut dengan masalah kecederaan sebelum ini.

Ariff, 25, sering dibelenggu kecede­raan lutut sejak berhijrah daripada Kedah ke PKNS FC pada 2019 sebelum dia di­lihat semakin menghampiri prestasi sebe­nar selepas me­nyarung jersi Felda United musim lalu.

Justeru, pemain versatil yang boleh beraksi di posisi sayap serta pertahanan kanan dan kiri itu bertekad memperagakan persembahan terbaiknya bersama Kedah dalam menghadapi saingan Liga Super bermula 28 Februari ini.

“Saya mengharungi musim cemerlang bersama Kedah dari tahun 2016 hingga 2018, namun prestasi jadi tidak menentu sejak berhijrah pada 2019. Saya berada di landasan tepat bersama Felda tetapi tidak puas kerana liga cuma berlangsung separuh musim.

“Saya tidak mahu toleh ke belakang lagi dan mahu membuktikan semula prestasi terbaik. Kalau berjaya, tidak mustahil saya mampu mencapai hasrat untuk kembali tersenarai dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Kali terakhir Ariff dipanggil dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan adalah ketika menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ bertemu Mongolia pada 2018 sebelum namanya digugurkan pada Jun 2018 untuk aksi bertemu Fiji.

Justeru, Ariff menyahut cabaran melakukan persedia­an dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua dengan menjalani latihan sendiri di rumah serta mengikut segala perancangan diatur barisan kejurulatihan Kedah.

“Kalau sebelum PKP, memang semua tengah bersema­ngat berlatih pada waktu pagi dan petang, tetapi sekarang terpaksa berlatih sendiri di rumah. Saya perlu bekerja keras sebab bukan senang merebut tempat dalam kesebelasan utama Kedah sekarang,” jelasnya.

The post Ariff sematkan tekad kembali sertai Harimau Malaya appeared first on Kosmo Digital.