577 individu ditahan ingkar SOP

PETALING JAYA – Seramai 577 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 545 telah dikompaun dan 32 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (190), tiada penjarakan fizikal (112), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (81), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (75), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (62) dan lain-lain (57).

“Semalam, sebanyak 2,474 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada 10,581 anggota telah melakukan 31,155 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP diseluruh negara,” katanya pada sidang khas FB Live hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Ops Benteng semalam telah berjaya menangkap 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima buah kenderaan darat dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara.

“Selain itu, Ops Benteng turut mengesan 115 buah bot atau kapal menerusi satu aktiviti penglihatan berdekatan perairan negara,” jelasnya. – K! ONLINE

The post 577 individu ditahan ingkar SOP appeared first on Kosmo Digital.