5 maut dalam kebakaran di kilang vaksin

MUMBAI – Sekurang-kurangnya lima orang disahkan mati ketika satu kebakaran di sebuah bangunan di hab pengeluaran vaksin terbesar dunia di barat India hari ini, kata pihak berkuasa.

“Lima orang telah mati,” kata Datuk Bandar Pune, Murlidhar Mohol kepada pemberita susulan insiden kebakaran di Institut Serum di India.

Pasukan penyelamat menemui lima mayat di dalam bangunan yang masih dalam pembinaan selepas kebakaran berjaya dikawal, lapor media tempatan.

“Kami berasa amat sedih dan mengucapkan takziah kepada waris keluarga,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adar Poonawalla tanpa beri butiran lanjut.

Terdahulu, agensi berita AFP melaporkan kejadian kebakaran di Institut Serum India tidak menjejaskan pengeluaran vaksin koronavirus.

Beberapa stesen penyiaran tempatan memaparkan asap tebal berwarna kelabu keluar dari bangunan itu di bandar Pune, negeri Maharashtra di India.

Institut Serum masih meneruskan pengeluaran berjuta-juta dos vaksin koronavirus Covishield yang dibangunkan oleh firma farmaseutikal, AstraZeneca dan Universiti Oxford.

“Ia (kebakaran) tidak akan menjejaskan pengeluaran vaksin Covid-19,” kata sumber di Institut Serum dengan menyatakan kebakaran cuma berlaku di kilang baharu yang masih dalam pembinaan.

Seorang pegawai di jabatan bomba tempatan menyatakan sebanyak enam hingga tujuh jentera dikerah ke lokasi kebakaran.

“Kami tiada maklumat lain berhubung tahap kebakaran atau ada mangsa terperangkap di situ,” kata pegawai itu. – AFP

The post 5 maut dalam kebakaran di kilang vaksin appeared first on Kosmo Digital.