38 individu ditahan, 303 dikompaun – Nik Ezanee

PETALING JAYA – Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lembah Klang bermula 13 Januari lalu sehingga semalam, Polis Petaling Jaya telah menahan 38 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dalam tempoh itu juga seramai 303 warga tempatan dikompaun RM1,000 kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan 2021).

Katanya, terbaharu pihaknya telah menahan tujuh individu kerana telah melanggar SOP PKP dalam tiga serbuan berasingan semalam.

“Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 2.10 petang di sebuah premis cuci kereta, kita telah menahan dua lelaki warga asing kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana sektor pekerjaan yang dibenarkan oleh kerajaan.

“Tangkapan seterusnya melibatkan dua wanita di sebuah premis menjual nombor loteri berlesen di Kelana Jaya kerana menjalankan perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang PKP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, serbuan ketiga di sebuah restoran di Kelana Jaya kira-kira pukul 3.10 petang pula berjaya menahan tiga lelaki warga asing.

Katanya, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan kerana tidak menggunakan pelitup muka semasa berada di dalam restoran tersebut.

“Ketujuh-tujuh individu berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Lima lelaki warga asing itu juga turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.- K! ONLINE

The post 38 individu ditahan, 303 dikompaun – Nik Ezanee appeared first on Kosmo Digital.