3.4 tan bawang merah kecil dari Thailand dirampas

KANGAR: Sebanyak 3.4 tan bawang merah kecil bernilai RM27,000 dirampas di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri, Mohamad Arshad Raffin berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang membawa muatan tersebut kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, bawang kecil dari Thailand itu dirampas kerana tidak mempunyai Sijil 3P Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan dokumen berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati pihak pengimport tersebut membawa 3,462 kilogram bawang merah kecil yang dianggarkan bernilai RM27,696.00,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Arshad, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambanya, Maqis sentiasa memantau bagi memastikan sebarang kemasukan yang melibatkan keluaran pertanian mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE

The post 3.4 tan bawang merah kecil dari Thailand dirampas appeared first on Utusan Digital.