23 bubu naga dirampas

PORT DICKSON – Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berjaya merampas dan menyita sebanyak 23 set bubu naga yang dikesan dipasang di sekitar perairan Port Dickson petang semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, kesemua bubu tersebut dikesan kira-kira 0.15 batu nautika dari Pulau Perjudi dekat Teluk Pelanduk di sini kira-kira pukul 2 petang semalam oleh Unit Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang menjalankan pemantauan di perairan berkenaan.

“Penemuan penggunaan bubu naga ini pertama kali dikesan di negeri ini dan kaedah penangkapan ikan dengan menggunakan bubu naga ini turut mengganggu operasi penangkapan ikan oleh nelayan-nelayan tradisional yang berlesen terutama dalam kalangan nelayan pukat hanyut.

“Penggunaan bubu naga (juga dikenali sebagai bubu kambam) merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran/lesen,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Halimi, pihaknya pernah menerima aduan dan rungutan daripada nelayan dan pernah cuba mengesan bubu tersebut sebelum ini, namun gagal ditemui.

“Kami pernah cari, walaupun ada aduan tetapi kali ini baru dapat jumpa. Bubu naga merupakan bubu yang sangat panjang dan mempunyai banyak injap dan pihak jabatan tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk bubu jenis ini kecuali bubu yang mempunyai tidak lebih daripada dua injap sahaja.

“Kesemua bubu naga tersebut telah disita mengikut Seksyen 49 Akta Perikanan 1985. Tidak dapat dipastikan pemilik bubu berkenaan kerana tiada nelayan di tempat kejadian setelah pihak kami menunggu beberapa ketika,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penggunaan bubu naga di perairan Port Dickson diharap dapat membuat laporan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE

The post 23 bubu naga dirampas appeared first on Kosmo Digital.