10 individu bersubahat curi latex ditahan

KLANG: Tindakan seorang pemandu lori yang menghilangkan bahan mentah membuat sarung tangan atau latex sebuah kilang terbongkar apabila dia ditahan bersama sembilan individu lain termasuk pemilik depoh simpanan lori dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Siri serbuan di Pulau Pinang dan Perak itu menahan kesemua individu berusia lingkungan 20 tahun hingga 50-an berkenaan termasuk lima daripadanya warga asing.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima laporan kecurian bahan mentah dari Thailand untuk dibawa ke kilang di daerah ini sebanyak 5,570 kilogram yang dianggarkan bernilai RM54,000 daripada jurutera premis tersebut, Rabu lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya memberkas seorang pemandu lori yang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan selepas hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada hari sama bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lima lelaki termasuk tiga warga asing di sekitar Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, Ahad lalu.

“Susulan penahanan itu, kita menyerbu sebuah depoh simpanan lori di Taiping, Perak dan menahan empat lagi lelaki semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nurulhuda, hasil serbuan, polis merampas dua kenderaan, tujuh unit telefon bimbit, lima tong cecair dan satu dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Siasatan turut mendapati seorang daripada suspek ditahan adalah pemilik depoh yang diserbu.

“Ttiga warga tempatan yang ditahan pula didapati memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahui, pihaknya mengeluarkan 120 kompaun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang mula dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.

“Kesalahan yang dikesan antaranya tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tiada penjarakan fizikal dan menjalankan perniagaan melebihi had masa.

“Selain itu, masih ada individu yang gagal mengisi butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post 10 individu bersubahat curi latex ditahan appeared first on Utusan Digital.