Zii Jia tumbang lagi seawal pusingan pertama

LANGKAH jaguh perseora­ngan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Toyota Terbuka Thailand di Bangkok tersekat seawal pu­singan pertama selepas tewas kepada pemain India, Sameer Verma semalam.

Pemain pilihan kelapan kejohanan itu tumbang dengan keputusan 21-18, 25-27, 19-21 dalam tempoh satu jam 14 minit sekali gus merekodkan kekalahan kedua kepada pemain India berusia 26 tahun tersebut selepas kali terakhir tewas di tangan Verma pada Terbuka Australia 2019.

Ketua jurulatih perseora­ngan lelaki negara, Hendrawan akur dengan kekalahan tersebut selain mengakui Zii Jia perlu­ bekerja keras untuk kembali mendapatkan semula ren­tak terbaiknya.

“Daripada dua kejohanan di Thailand ini, kita harus akui prestasi Zee Jia masih belum berada pada tahap maksimum terutama ketika mengawal tekanan berdepan perlawanan sukar seperti ini.

“Ia jelas sekali apabila Zee Jia ingin membuat keputusan sama ada ingin menggunakan strategi antara rali atau tampil dengan corak serangan. Saya lihat dia sedikit ragu-ragu untuk membuat keputusan.

“Pemain lawan sudah mempelajari strategi Zee Jia dan ketika itu saya lihat pemain lawan juga telah menukar cara permainannya. Kita perlu menilai semua kekalahan ini dan melihat semula apa yang perlu dilakukan pada masa akan datang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tampil dengan kemenangan bergaya 21-13, 21-13 ke atas pasangan Jerman Jones Ralfy Jansen-Kilasu Oster­meyer.

Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut melangkah ke pusingan kedua dengan mudah selepas gandingan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae menarik diri pada set pertama ketika keputusan 6-2.

Tidak terkecuali buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila me­langkah ke pusingan seterus­nya apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah Thailand, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham dengan keputusan 21-10,21-18 dalam tempoh 32 minit.

Pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mara apabila menewaskan gandingan dari England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-14, 21-14 dalam tempoh 34 minit.

The post Zii Jia tumbang lagi seawal pusingan pertama appeared first on Kosmo Digital.