PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Perak bermula esok

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak bermula esok sehingga 3 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat Isnin lalu, sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan di kampung berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesahkan terdapat seramai 87 kontak rapat yang sedang dikuarantin ketika ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk mengawal pergerakan penduduk serta memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar di lokaliti ini yang membabitkan seramai 494 penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 752 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 718 individu dikompaun manakala 34 lagi direman.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (277), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), tiada penjarakkan fizikal (128), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (73), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (39) dan lain-lain (98),” katanya.

Selain itu, katanya, seramai 57 orang pendatang asing tanpa asing (PATI) ditangkap dalam Ops Benteng dan sebanyak 10 buah kenderaan darat turut dirampas. -K! ONLINE

The post PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Perak bermula esok appeared first on Kosmo Digital.