Peter Anthony mohon pindah kes

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah , Datuk Peter Anthony memohon agar kes menggunakan dokumen palsu yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Menurut notis usul yang difailkan pada pada 6 Januari lalu, permohonan itu dibuat berikutan kebanyakan saksi yang akan dipanggil berasal dan menetap di Sabah.

Anthony, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn. Bhd. telah menggunakan suatu dokumen palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering.

“Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malalap dan telah berada di Sabah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sedang berkhidmat membantu masyarakat di Sabah yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” kata Anthony dalam notis usul yang diperoleh media hari ini.

Selain itu, Anthony selaku pemohon turut menghadapi lima pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu yang mana ia akan mengehadkan pergerakan Adun terbabit ke ibu negara.

Sementara itu, peguam bela, Mohammed Haniff Khatri Abdullah ketika dihubungi memberitahu sebutan bagi permohonan itu ditetapkan pada 3 Februari ini.

“Sebutan sepatutnya berlangsung hari ini tetap ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. Pihak-pihak dimaklumkan melalui emel oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Tambahnya, kes itu sepatutnya disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin hari ini.

Berhubung permohonan untuk memindahkan kes itu, Wan Shahruddin menyatakan, pada prosiding terdahulu pihak pendakwaan telah memaklumkan mahkamah bahawa mahkamah di sini (Kuala Lumpur) tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan kes dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.

Dokumen palsu yang dikatakan digunakan oleh Anthony itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kerjasama dengan syarikat Asli Jati Engineering yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E) serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 17 Julai 2014 di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya dan pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Anthony turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama, dan dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun 2020, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan penggubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dan dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah agensi berkenaan bernilai RM15,545,400. – UTUSAN ONLINE

The post Peter Anthony mohon pindah kes appeared first on Utusan Digital.