Pelajar SPM MRSM Lipis kena kuarantin

LIPIS: Kesemua pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikuarantin selepas seorang positif Covid-19 semalam.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi, Bentong dekat sini manakala dua pelajar lelaki dikuarantin di asrama.

“Pemindahan ke I-KPKT dilakukan untuk keselamatan selepas ada kes positif dan melihat situasi yang mana daripada 20 orang yang bergejala meningkat kepada 30 orang dalam tempoh 10 hari.

“Setakat pagi ini terdapat tiga lagi pelajar yang dikuarantin di I-KPKT positif Covid-19 dan dihantar ke Hospital,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemindahan pelajar perempuan ke I-KPKT dilakukan selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, pemindahan pelajar berkenaan menaiki bas turut diiringi pihak polis dalam memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.

“Terdapat juga tiga guru pengiring dibawa bagi menjaga kebajikan pelajar sepanjang ditempatkan dikuarantin,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

The post Pelajar SPM MRSM Lipis kena kuarantin appeared first on Utusan Digital.