Nabila Razali tanggung risiko

UMUM mengetahui penyanyi Nabila Razali mengambil keputusan menarik diri untuk menyanyikan lagu Peluang Kedua kerana mengalami masalah peti suara ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) yang telah berlangsung pada 15 Disember lalu.

Tempatnya ketika itu diganti oleh pencipta lagu itu sendiri, iaitu penyanyi Hael Hussaini. Biarpun berasa sedikit terkilan, Nabila atau lebih mesra disapa Bella akur dengan keputusan itu selepas mendapat nasihat daripada doktor supaya dia berehat dalam jangka masa panjang.

Tidak dapat beraksi di pentas SFMM35, Nabila tetap gembira kerana lagu tersebut berjaya melayakkan dirinya bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) nanti.

Biarpun AJL35 yang dijadualkan pada 7 Februari nanti ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan semula ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru dikuatkuasakan semula, Nabila tetap mempersiapkan diri untuk aksi sulungnya di pentas berprestij tersebut.

HIBGLAM: Bagaimana keadaan kesihatan Nabila sekarang selepas lebih sebulan berehat daripada menyanyi kerana masalah peti suara?
NABILA RAZALI: Keadaan saya semakin baik walaupun masih dalam proses pemulihan. Saya sendiri pun sudah lama tidak ambil sebarang tawaran kerja atau hadir di mana-mana acara. Saya masih menjalani rawatan dengan pengambilan ubat ikut nasihat doktor.

Anda sudah mengesahkan kemunculan di pentas AJL35, adakah anda benar-benar yakin?
Doktor masih suruh saya berehat, tetapi saya cuba kuatkan diri. Lagi pun, ini pertama kali hendak bertanding dalam AJL, saya sungguh teruja. Apa yang saya boleh katakan, saya kena jaga kesihatan dan berharap semuanya berjalan lancar. Masalah peti suara terjadi pada bahagian tekak dan saya tidak boleh nampak keadaannya sekarang.

Maksudnya anda sanggup mengambil risiko dengan keputusan ini?
Saya tidak nafikan memang keputusan ini ada risiko. Apa-apa pun sekarang saya memang memberi tumpuan bukan sahaja pada kesihatan diri, bahkan kesihatan mental untuk beraksi di pentas besar.

Bagaimana pula dengan persediaan yang sedang anda lakukan?
Persediaan macam biasa dan saya masih menyanyikan lagu Peluang Kedua dengan ‘key’ asal. Cumanya saya tidaklah terlalu memaksa diri kerana lagu tersebut pun memerlukan penghayatan dan emosi yang mendalam.
Komposer terlibat pun tidak dapat menilai lagi tahap kemampuan vokal saya kerana masih dalam proses pemulihan. Sejak dari hari saya jatuh sakit sehingga hari ini, saya masih ikut nasihat doktor dan makan ubat.
Selain itu saya juga amalkan petua yang disuruh oleh emak seperti meminum air lemon untuk memulihkan tekak.

Apa harapan anda sewaktu AJL35 nanti?
Saya sentiasa bersedia sebab saya percaya pada usaha dan kerja keras. Saya tidak mahu menjatuhkan semangat orang lain.
Apa yang pasti, saya sangat mengharapkan doa dan sokongan daripada semua peminat.
Saya berharap sangat semuanya berjalan dengan lancar dan saya dapat peluang berdiri di atas pentas AJL35. Berilah waktu untuk saya betul-betul sembuh.

The post Nabila Razali tanggung risiko appeared first on Kosmo Digital.