Lapan peruncit  dikompaun sorok minyak masak

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan notis terhadap lapan peruncit di sekitar bandar raya ini kerana disyaki menyembunyikan minyak masak pek sekilogram (kg) bersubsidi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, notis yang dikeluarkan itu bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan berhubung kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Katanya, tindakan terbabit dibuat selepas KPDNHEP negeri menjalankan operasi bersepadu di sekitar Kulai dan Kempas, di sini susulan laporan bekalan minyak masak bersubsidi kehabisan stok di pasaran.

“Sejak awal tahun sehingga hari ini, KPDNHEP Johor menjalankan pemeriksaan ke atas 780 premis meliputi 687 peruncit, 75 pemborong dan 18 pengilang di seluruh daerah di negeri ini. Kami turut mempertingkatkan pemantauan sebaik laporan minyak masak paket terputus bekalan selain harga minyak botol naik mendadak.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat, lapan peruncit diberikan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana dipercayai mereka terbabit menyorok minyak paket dan mendakwa kehabisan stok, padahal bekalan masih ada tetapi disembunyikan.

“Hasil siasatan awal mendapati tindakan peruncit menyorok bekalan mereka kerana enggan menjual minyak paket disebabkan margin keuntungan yang rendah berbanding minyak botol,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi bersepadu KPDNHEP Johor memeriksa bekalan minyak masak di Kempas, di sini hari ini.

Mohd. Hairul berkata, pihaknya juga sedang menyiasat punca kenaikan harga minyak botol yang mendadak hingga menimbulkan keluhan orang ramai.

“KPDNHEP Johor sedang memeriksa rantaian bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini selepas ia didakwa habis di pasaran sejak dua minggu lalu.

“Kita akan membuat pemeriksaan secara menyeluruh di peringkat pengeluar atau pengilang, pemborong sehinggalah ke peringkat peruncit,” katanya.-K! ONLINE

The post Lapan peruncit  dikompaun sorok minyak masak appeared first on Kosmo Digital.