Kluster baharu di NS libatkan pelajar ILP Pedas

SEREMBAN: Kluster terbaharu yang dikesan di negeri ini iaitu Kluster Sungai Ibor dikenal pasti melibatkan pelajar di Institut Latihan Perindustruan (ILP) Pedas yang terletak di Persiaran Pinggiran Pedas, Kampung Sungai Ibor, Pedas, Rembau.

Mengikut maklumat yang dikongsikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan, kes indeks bagi kluster tersebut iaitu lelaki warganegara Malaysia berusia 20 tahun telah dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Johor.

Sehingga kini, sejumlah 138 individu telah disaring di mana 12 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, terdapat 176 kes baru positif Covid-19 dilaporkan ke CPRC Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 10,430 kes di negeri ini.

“Daripada jumlah kumulatif tersebut, 9,173 kes telah sembuh dan discaj, 1,238 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 19 kes telah meninggal dunia.

“Sehingga kini, terdapat penambahan satu kluster baharu dilaporkan ke CPRC Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan menjadikan terdapat 31 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Veerapan berkata, terdapat 1,369 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

Menurutnya, daripada statistik daerah, terdapat pertambahan sebanyak 93 kes di daerah Seremban; Port Dickson (55 kes), Rembau (15 kes), Jempol (12 kes) dan Jelebu (satu kes).

The post Kluster baharu di NS libatkan pelajar ILP Pedas appeared first on Utusan Digital.