Kesihatan bertambah baik tapi belum dibenarkan pulang – Tok Pa

PUTRAJAYA – “Keadaan saya bertambah baik sikit tetapi doktor tidak benarkan pulang lagi kerana rawatan pada paru-paru masih belum selesai,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa menerusi hantaran di laman Facebook berkata, doktor mengesahkan kandungan oksigen dan tekanan darahnya baik malah, selera makan juga bertambah.

Menurutnya, beliau kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan dan hari ini hari ke-11 menjalani rawatan dan kuarantin.

“Terima kasih doktor, jururawat dan petugas yang tidak kenal penat lelah demi menjaga kesihatan kami di sini.

“Covid-19 masih mengancam, hospital dan unit rawatan rapi (ICU) kita semakin penuh. Jaga diri dan keluarga baik-baik. Rakyat perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) 100 peratus dan jangan berkompromi.

“Terima kasih kepada semua sahabat handai, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang menghantar mesej, sampai salam dan berdoa berterusan,” katanya.

Katanya, sokongan diberikan memberi semangat dan dorongan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan melawan Covid-19.

Mustapa dimasukkan ke hospital pada 9 Januari lalu selepas disahkan positif Covid-19. -K! ONLINE

The post Kesihatan bertambah baik tapi belum dibenarkan pulang – Tok Pa appeared first on Kosmo Digital.